LAMAN UTAMA





TENTANG MENGHORMATI GURU

Wahai anakanda dengarlah amanat
Terhadap gurumu hendaklah hormat
Ilmunya banyak memberi manfaat
Menyelamatkan hidup dunia akhirat

Kepada guru hendaklah sopan
Tunjuk ajarnya anakanda dengarkan
Penat letihnya jangan dilupakan
Supaya hidupmu dirahmati Tuhan

Kepada gurumu janganlah durhaka
Janganlah pula berburuk sangka
Tunjuk ajarnya anakanda jaga
Supaya manfaatnya dapat dirasa

Kepada gurumu eloklah perangai
Apabila disuruhnya janganlah lalai
Tunjuk ajarnya selalu dipakai
Supaya hasratmu cepat tercapai

Apabila gurumu selalu kautentang
Ditunjuk diajar engkau membangkang
Akibatnya buruk bukan kepalang
Ilmu dituntut berkahnya hilang

Kepada guru jangan menista
Bercakap kasar bermasam muka
Orang benci Allah pun murka
Hidupmu akan terlunta-lunta

Kepada gurumu nampakkan minat
Petua didengar petunjuk diingat
Supaya belajar beroleh manfaat
Membawa berkah dunia akhirat

Kepada gurumu hendaklah patuh
Ditunjuk diajar jangan mengeluh
Belajarlah dengan bersungguh-sungguh
Supaya hidupmu menjadi senonoh

Anggaplah guru sebagai ibu bapa
Tempat merujuk tempat bertanya
Memudahkan anakanda memahami ilmunya
Supaya pelajaranmu tak sia-sia

Jadikan gurumu contoh teladan
Minta nasihat untuk pegangan
Apa masalahmu boleh disampaikan
Supaya bebanmu menjadi ringan

Kepada gurumu berterus terang
Jangan bercakap main belakang
Supaya belajar hatimu lapang
Guru mengajar hatinya senang

Kepada gurumu berterima kasih
Kerana mengajarmu berpenat letih
Sampaikan dengan hati yang bersih
Semoga menjadi amalan soleh

Wahai anakanda permata bonda
Gurumu itu juga manusia
Tentulah ada lebih kurangnya
Maafkan olehmu bila ada salahnya

Kepada guru jangan mendendam
Orang pendendam imannya padam
Budi yang baik jadi tenggelam
Hari depanmu menjadi suram

Budi gurumu janganlah dilupakan
Penat letihnya jangan diabaikan
Ilmu diterima engkau amalkan
Semoga pahalanya sama dirasakan

Budi gurumu selalu dikenang
Jasanya besar bukan kepalang
Engkau dididik menjadi orang
Ditunjukkan pula jalan yang terang 






Pendidikan di Malaysia


Sistem pendidikan di Malaysia diselia oleh Kementerian Pendidikan Malaysia. pendidikan malaysia boleh didapatkan dari sekolah tanggungan kerajaan, sekolah swasta atau secara sendiri. Sistem pendidikan dipusatkan terutamanya bagi sekolah rendah dan sekolah menengah. Kerajaan negeri tidak berkuasa dalam kurikulum dan aspek lain pendidikan sekolah rendah dan sekolah menengah, sebaliknya ditentukan oleh kementerian. Terdapat peperiksaan piawai yang merupakan ciri yang biasa bagi negara-negara Asia seperti di Singapura dan China.



GURU





Seorang guru adalah pendidik, pembimbing dan pengajar di dalam kelas. Sekali gus, guru juga bertugas membabitkan murid dan pelajar di sesebuah sekolah. Guru juga bertanggungjawab terhadap masalah disiplin, kedatangan, kelakuan dan budi pekerti pelajar. Jelasnya, guru adalah orang terpenting di setiap sekolah.



Guru pendidik yang mendidik akal budi murid dan pelajarnya adalah pendidik yang memahami tugasnya sebagai guru. Mendidik akal budi menjurus kepada kecemerlangan ilmu pengetahuan dan kecemerlangan akhlak serta budi pekerti pelajar itu sendiri.



16 Mei  adalah hari mengingati jasa dan pengorbanan guru.


Kualiti yang kita harapkan daripada guru-guru ini pastinya tidak terhad kepada kualiti akademik semata-mata. Guru yang berkualiti harus bijak mengadunkan ilmu dengan kaedah pengajaran dan pembelajaran (P&P) yang berkesan dan jelas kepada pelajarnya. Penggunaan Alat Bantu Mengajar (ABM) seperti internet, gambar berkesan dan penyampaian menarik akan menjadikan seseorang guru itu diminati dan disanjung tinggi.

Pengajaran adalah apa yang disampaikan oleh guru, manakala pembelajaran apa yang diterima oleh murid dan pelajarnya. Jika pengajaran tidak berkesan, murid atau pelajar tidak akan menerima pembelajaran yang baik dan berkesan. Kini, segulung ijazah, atau diploma yang dimiliki oleh guru mesti dilengkapkan dengan ilmu pendidikan dan pengalaman mengajar yang meluas.

Ilmu yang diperoleh itu perlu diberikan tambah nilai dari semasa ke semasa. Kaedah P&P yang dipelajarinya hari ini mungkin sudah tidak relevan lagi dua atau tiga tahun akan datang. Oleh itu, melalui pembacaan, kursus dan juga perbincangan antara guru akan dapat meningkatkan P&P di sesebuah sekolah.

Bagaimanapun tugas dan  peranan utama guru untuk mendidik anak bangsa yang berilmu pengetahuan, berbudi pekerti, bersemangat waja serta mampu bersaing harus dikekalkan sampai bila-bila. Perubahan masa hanya menukarkan kaedah pelaksanaannya, tetapi tidak kepada peranan hakiki guru.

Guru berkualiti juga harus bijak menangani konflik dan tekanan sepanjang kerjayanya serta dalam  masa sama memenuhi sedaya mungkin harapan masyarakat yang mahukan mereka menghasilkan generasi boleh diharap meneruskan kecemerlangan negara. Guru juga mesti mampu membimbing murid dan pelajar ke arah kecemerlangan akal dan budi.

Sebagai guru berkualiti, mereka juga seharusnya tidak tunduk dengan desakan dan tekanan serta keghairahan masyarakat kini yang begitu tergoda dengan pencapaian akademik, sedangkan nilai-nilai murni anak-anak ini semakin hari semakin nipis.

Keseimbangan antara kecemerlangan akademik dan akhlak mestilah ditumpukan dalam P&P di dalam kelas dan sekolah.

Konflik keyakinan masyarakat terhadap mutu guru dan sistem persekolahan juga memerlukan guru berkualiti untuk menanganinya secara bijak. Bagaimanapun, guru tidak seharusnya dibiarkan bersendirian dalam memikul tanggungjawab berat ini.

Pembentukan sesebuah generasi dalam sesebuah negara adalah tanggungjawab individu itu sendiri dan juga masyarakat secara keseluruhan. Pada masa kini, ahli masyarakat seakan membiarkan guru sahaja atasi permasalahan ini.

Sebagai ahli masyarakat, iaitu ibu bapa kepada murid dan pelajar, kita harus memberi sokongan padu kepada guru dari segi kebendaan, ganjaran terhadap guru perlu dinilai dari semasa ke semasa supaya setimpal dengan peranan dan tugas mereka. Dari segi bukan kebendaan pula, menghargai jasa dan pengorbanan guru adalah sumbangan yang perlu diberikan oleh semua orang.

Kita mempunyai ramai guru yang bukan sahaja berkualiti intelek dan ilmunya, tetapi juga berkualiti daripada segi rohaninya. Guru yang sudah lama mengajar mestilah mempunyai pengalaman luas yang seharusnya dipelajari dan diteladani oleh guru-guru baru. Sebab itu, guru akan berusaha memastikan anak muridnya berjaya dengan cemerlang di dalam pelajaran. Contoh dan teladan daripada guru berkaitan akhlak dan rohani akan menjadi ikutan murid dan pelajarnya.

Nama pun “cikgu”, mereka tidak akan puas jika anak muridnya tidak memahami apa yang diajar. Panggilan keramat ini amat sesuai dipadankan dengan tugasnya yang mencabar. Guru adalah arkitek bangsa yang berjasa. Panggilan ini akan kekal sepanjang hayat, mati pun masih dipanggil “cikgu”.

Jika ditinjau, apabila ada waktu terluang, seorang guru, tanpa mengira duit akan mengadakan kelas tambahan. Kegiatan kokurikulum sebenarnya banyak mengambil masa dan wang ringgit, sebab sudah menjadi tanggungjawab, hal ini jarang dirungutkan oleh guru. Bagai lilin yang menyala, dan kemudian membakar dirinya, guru tetap bertanggungjawab memberikan pendidikan yang terbaik bagi mewujudkan masyarakat berilmu.

No comments:

Post a Comment