APAKAH MAKSUD SLOGAN
"BAHASA JIWA BANGSA"?
Bahasa Jiwa Bangsa bermaksud bahawa bahasa sebagai milik
mutlak sesuatu bangsa yang menjadi identiti kebangsaan. Sesungguhnya bahasa itu
menunjukkan jati diri sesuatu bangsa. Bahasa melambangkan bagaimana sesuatu
bangsa itu menggunakan bahasa sebagai alat komunikasi, perpaduan untuk saling
memahami dan bahasa itu digunakan sebagai bahasa ilmu sesuatu bangsa. Kekuatan
bahasa itu juga menunjukkan kuatnya sesuatu bangsa.
Agak
menyedihkan di ketika negara menghampiri tahun kemerdekaan ke-56, masih ada
suara-suara sumbang mempersoalkan status pribumi orang Melayu di bumi yang
pernah dikenali sebagai Tanah Melayu ini, sedangkan bukti forensik genetik
sudah didedahkan.Tidak terkecuali usaha memperkecilkan bahasa Melayu yang
menjadi bahasa kebangsaan dalam peruntukan Perlembagaan negara apabila tulisan
dan bahasa bukan Melayu, khususnya bahasa Inggeris diutamakan dalam semua aspek
harian termasuk nama jalan, nama bangunan, nama kawasan perumahan, iklan dan
banyak lagi.
Tentu
sekali semua skrip drama ini dimainkan demi agenda tertentu pihak terbabit
khususnya apabila mereka melihat beberapa negara lain berjaya 'menjajah' bangsa
Melayu yang lemah selepas dihimpit keganasan dan penindasan.Namun, darjat dan
keagungan silam orang Melayu masih dapat diselamatkan dan diangkat kembali ke
zaman kegemilangan Nusantara melalui bahasanya yang menjadi lingua franca Asia
Tenggara satu masa dahulu.
Jika
hanya orang Melayu, bilangannya tidaklah begitu ramai tetapi mereka yang
bertutur bahasa Melayu sebenarnya kini melangkaui 300 juta orang di seluruh
dunia dan semakin bertambah setiap hari.Selain Semenanjung Malaysia, Sabah dan
Sarawak, bahasa ini atau dialeknya turut digunakan penduduk di Brunei,
Thailand, Singapura, Filipina, Indonesia, Kemboja, Afrika serta kelompok kecil
di beberapa negara lain.
Di
zaman kegemilangan kerajaan Melaka, bahasa Melayu juga pernah sampai ke seluruh
ceruk rantau termasuk di China, India, tanah Arab malahan dikatakan sampai ke
tamadun di Barat.Sungguhpun dunia kini mengangkat bahasa Inggeris sebagai
bahasa pengantar utama berbanding bahasa Perancis, Mandarin dan Sepanyol yang
digunakan lebih ramai penduduk dunia, tidak bermakna bahasa-bahasa lain sudah
tiada nilainya.
Lihat
sahaja semangat orang Jepun yang begitu berbangga dengan bahasanya sehinggakan
diutamakan dalam semua urusan harian mahupun kerja, melanggar norma dunia yang
'mewajibkan' bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua.Kebanggaan bangsa Jepun
terhadap bahasanya dan kemajuan tamadun negara itu akhirnya memaksa dunia
menerima bahasa mereka sebagai antara bahasa penting dunia sehinggakan tulisan
Jepun diletakkan di papan penyata lapangan terbang mahupun pusat komersial dan
kawasan tumpuan umum di negara-negara besar.
Sejajar
Dasar Pandang ke Timur, cadangan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO)
mengangkat bahasa Melayu bersama bahasa Indonesia selaku bahasa pengantar utama
dunia khususnya di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) perlu diberi sokongan
sepenuhnya.Dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Pusat Bahasa
Indonesia, di samping golongan penulis, ahli akademik universiti dan pencinta
bahasa, inisiatif ini mampu mengangkat kembali bahasa Melayu sebagai antara
bahasa utama dunia.
Pada
masa sama, tamadun, budaya, kesenian, tulisan dan ciri-ciri unik bangsa Melayu
dan bangsa-bangsa yang menggunakan bahasa Melayu dapat diangkat sama dan lebih
mudah diselami masyarakat antarabangsa.Walaupun kini bahasa Melayu-Indonesia
merupakan bahasa pertuturan yang kelima paling banyak digunakan di dunia, ia
dilayan umpama bahasa kuno yang jarang digunakan kerana jarang sekali diberi
penghargaan sewajarnya.
Lebih
malang, taraf bahasa Melayu diberi gambaran 'bahasa pelik suku kaum hulu' oleh
pihak tertentu khususnya dalam media dan dunia perfileman Barat.Tafsiran salah
itu diburukkan lagi apabila wujud golongan tertentu, khususnya orang muda di
negara-negara yang menggunakan bahasa Melayu sendiri memperlekeh, menghina dan
mempermainkan bahasa kebangsaan mereka, termasuklah di Malaysia.
Walaupun
bilangan golongan menghina bahasa ini tidak ramai, ia amat memalukan sedangkan
ramai pelajar asing di United Kingdom, China, Rusia, Amerika Syarikat dan
universiti di negara-negara lain begitu teruja belajar dan bertutur menggunakan
bahasa Melayu.Penggunaan tulisan rumi memudahkan orang luar yang sudah mahir
dengan bahasa Inggeris mendalami bahasa Melayu sebagai bahasa kedua atau ketiga
mereka dan menjadi bukti kukuh bahasa Melayu mudah dikembangkan ke seluruh
dunia.
Untuk
bergerak ke hadapan dalam membentuk bangsa Malaysia, usaha mengangkat bahasa
kebangsaan negara ke peringkat antarabangsa perlu didukung dan disokong semua
tanpa diselit agenda peribadi mahupun fahaman sempit perbezaan kaum dan agama
di negara ini.Usaha mengangkat bahasa Melayu ini juga mungkin menjadi antara
pemangkin mengembalikan kebanggaan, identiti dan jati diri golongan muda di
negara ini daripada terus menyalin budaya luar khususnya yang melanggar norma
dan batasan agama.
Bahasa
merupakan antara ciri kehidupan yang menjadi identiti bangsa dan rakyat
sesebuah negara. Sempena bulan kemerdekaan negara, bersamalah kembalikan
kebanggaan kepada ciri-ciri unik kita semua yang menjadi identiti sebuah negara
bangsa yang berjaya.
No comments:
Post a Comment