Friday, 26 September 2014

BULAN BAHASA KEBANGSAAN

BULAN BAHASA KEBANGSAAN



Latar Belakang

Bermula dengan panggilan Minggu Bahasa Kebangsaan dana Bulan Bahasa Kebangsaan sepanjang dekad 60-an. Kempen ini telah melalui perubahan pelbagai nama seperti Gerakan Cintailah Bahasa Kita (GCBK) (1987-1996),Gerakan Bahasa Kebangsaan Sektor Swasta (GBKSS) (1996-2005) dan Minggu Sastera (1987-1998).Akhirnya pada tahun 1999, gerakan ini dinamakan Bulan Bahasa dan Sastera Negara (BBSN).

Program BBSN yang pertama telah dilancarkan pada tahun 1999 oleh YAB Dato' Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi, Timbalan Perdana Menteri Malaysia ketika itu.Pada tahun 2009, bersesuaian dengan matlamat pelaksanaannya, BBSN telah dikenali dengan nama Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK)

Tujuan Utama
Bulan Bahasa Kebangsaan (BBK) bertujuan untuk memantapkan, memperkukuh dan mempamerkan jati diri dan citra bangsa Malaysia.
Menguatkan rasa megah terhadap bahasa kebangsaan.
Mengeratkan dan memperkukuh perpaduan bangsa melalui bahasa kebangsaan.
Menyemarakkan peranan bahasa kebangsaan sebagai tonggak pembinaan negara bangsa.

Keseluruhan konsep logo menggambarkan peranan rakyat pelbagai bangsa di dalam negara bagi membentuk perpaduan di dalam konsep satu Malaysia “BBK” menjadikan tunggak kecemerlangan negara berasaskan pembangunan yang berteraskan bahasa sebagai wadah.

HURUF “B”
Huruf “B” yang direka secara grafik dan dinamik sekilas pandang berbentuk “B” bererti “Bulan” dan “Bahasa Kebangsaan” di hujung pena menjadi tunjang pada huruf “B”. Ia sinonim dengan DBP sebagai sumber ilmu dan juga dataran untuk menyampaikan dan memacukan visi dan misi DBP yang merupakan matlamat bahasa dan sastera yang akan direalisasikan oleh “B”.

BENTUK DUNIA BERPUSING DAN BENDERA MALAYSIA
“Bendera Malaysia” secara grafik terdiri daripada pelbagai warna membentuk dunia berpusing tanpa had menggambarkan arah tuju untuk mencapai matlamat masa depan “B” yang cemerlang.

Dunia berpusing menjadi latar belakang logo melambangkan tema perpaduan serta menitikberatkan cinta bahasa dan negara. Ia juga menunjukkan semua kaum yang sentiasa dipupuk dan dipastikan perpaduan, keharmonian kaum terpelihara untuk menjamin masa depan yang lebih gemilang. Ia memberi penyatuan kepada tiga bangsa utama di Malaysia, hidup penuh muafakat, bekerjasama demi memajukan negara.

Lingkaran tiga jalur merah putih pada bendera Malaysia merupakan kegiatan-kegiatan “BBK” yang meliputi pelbagai bidang ilmu dan bahasa.

DAUN RESAM DBP
Daun resam DBP yang terdapat pada logo korporat menterjemahkan bahasa menjadi bumbung logo. Ia juga sumber dalam memperkembangkan bahasa dalam era globalisasi terpusat di atas logo ini sebagai nadi utama “BBK”.

PENA DARI HURUF “B”
Pena yang terletak di penghujung huruf “B” menggambarkan matlamat yang dituju dalam “BBK”. Di samping itu ia juga mencerminkan kegiatan bahasa dan sastera.


WARNA

MERAH DAN PUTIH
Merah dan putih menggambarkan semangat rakyat Malaysia untuk mencapai kegemilangan dan juga menjadi simbol wawasan satu Malaysia yang suci dan ikhlas.
KUNING
Kuning mengekalkan sistem raja berpelembagaan dan menjunjung luhur kedaulatan Negara serta menjadi simbol kegiatan “BBK” ke arah kegemilangan.

BIRU
Biru bermaksud kestabilan, bersatu hati dan hidup sejahtera untuk mencapai matlamat “BBK” bersama pelbagai kaum dalam negara.

HIJAU
Hijau melambangkan keterampilan dan kegiatan berwibawa dalam mengembangkan bahasa yang sentiasa subur ke persada dunia.


BAHASA JIWA BANGSA

APAKAH MAKSUD SLOGAN "BAHASA JIWA BANGSA"?

Bahasa Jiwa Bangsa bermaksud bahawa bahasa sebagai milik mutlak sesuatu bangsa yang menjadi identiti kebangsaan. Sesungguhnya bahasa itu menunjukkan jati diri sesuatu bangsa. Bahasa melambangkan bagaimana sesuatu bangsa itu menggunakan bahasa sebagai alat komunikasi, perpaduan untuk saling memahami dan bahasa itu digunakan sebagai bahasa ilmu sesuatu bangsa. Kekuatan bahasa itu juga menunjukkan kuatnya sesuatu bangsa.
Agak menyedihkan di ketika negara menghampiri tahun kemerdekaan ke-56, masih ada suara-suara sumbang mempersoalkan status pribumi orang Melayu di bumi yang pernah dikenali sebagai Tanah Melayu ini, sedangkan bukti forensik genetik sudah didedahkan.Tidak terkecuali usaha memperkecilkan bahasa Melayu yang menjadi bahasa kebangsaan dalam peruntukan Perlembagaan negara apabila tulisan dan bahasa bukan Melayu, khususnya bahasa Inggeris diutamakan dalam semua aspek harian termasuk nama jalan, nama bangunan, nama kawasan perumahan, iklan dan banyak lagi.
Tentu sekali semua skrip drama ini dimainkan demi agenda tertentu pihak terbabit khususnya apabila mereka melihat beberapa negara lain berjaya 'menjajah' bangsa Melayu yang lemah selepas dihimpit keganasan dan penindasan.Namun, darjat dan keagungan silam orang Melayu masih dapat diselamatkan dan diangkat kembali ke zaman kegemilangan Nusantara melalui bahasanya yang menjadi lingua franca Asia Tenggara satu masa dahulu.
Jika hanya orang Melayu, bilangannya tidaklah begitu ramai tetapi mereka yang bertutur bahasa Melayu sebenarnya kini melangkaui 300 juta orang di seluruh dunia dan semakin bertambah setiap hari.Selain Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak, bahasa ini atau dialeknya turut digunakan penduduk di Brunei, Thailand, Singapura, Filipina, Indonesia, Kemboja, Afrika serta kelompok kecil di beberapa negara lain.
Di zaman kegemilangan kerajaan Melaka, bahasa Melayu juga pernah sampai ke seluruh ceruk rantau termasuk di China, India, tanah Arab malahan dikatakan sampai ke tamadun di Barat.Sungguhpun dunia kini mengangkat bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar utama berbanding bahasa Perancis, Mandarin dan Sepanyol yang digunakan lebih ramai penduduk dunia, tidak bermakna bahasa-bahasa lain sudah tiada nilainya.
Lihat sahaja semangat orang Jepun yang begitu berbangga dengan bahasanya sehinggakan diutamakan dalam semua urusan harian mahupun kerja, melanggar norma dunia yang 'mewajibkan' bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua.Kebanggaan bangsa Jepun terhadap bahasanya dan kemajuan tamadun negara itu akhirnya memaksa dunia menerima bahasa mereka sebagai antara bahasa penting dunia sehinggakan tulisan Jepun diletakkan di papan penyata lapangan terbang mahupun pusat komersial dan kawasan tumpuan umum di negara-negara besar.
Sejajar Dasar Pandang ke Timur, cadangan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengangkat bahasa Melayu bersama bahasa Indonesia selaku bahasa pengantar utama dunia khususnya di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) perlu diberi sokongan sepenuhnya.Dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta Pusat Bahasa Indonesia, di samping golongan penulis, ahli akademik universiti dan pencinta bahasa, inisiatif ini mampu mengangkat kembali bahasa Melayu sebagai antara bahasa utama dunia.
Pada masa sama, tamadun, budaya, kesenian, tulisan dan ciri-ciri unik bangsa Melayu dan bangsa-bangsa yang menggunakan bahasa Melayu dapat diangkat sama dan lebih mudah diselami masyarakat antarabangsa.Walaupun kini bahasa Melayu-Indonesia merupakan bahasa pertuturan yang kelima paling banyak digunakan di dunia, ia dilayan umpama bahasa kuno yang jarang digunakan kerana jarang sekali diberi penghargaan sewajarnya.
Lebih malang, taraf bahasa Melayu diberi gambaran 'bahasa pelik suku kaum hulu' oleh pihak tertentu khususnya dalam media dan dunia perfileman Barat.Tafsiran salah itu diburukkan lagi apabila wujud golongan tertentu, khususnya orang muda di negara-negara yang menggunakan bahasa Melayu sendiri memperlekeh, menghina dan mempermainkan bahasa kebangsaan mereka, termasuklah di Malaysia.
Walaupun bilangan golongan menghina bahasa ini tidak ramai, ia amat memalukan sedangkan ramai pelajar asing di United Kingdom, China, Rusia, Amerika Syarikat dan universiti di negara-negara lain begitu teruja belajar dan bertutur menggunakan bahasa Melayu.Penggunaan tulisan rumi memudahkan orang luar yang sudah mahir dengan bahasa Inggeris mendalami bahasa Melayu sebagai bahasa kedua atau ketiga mereka dan menjadi bukti kukuh bahasa Melayu mudah dikembangkan ke seluruh dunia.
Untuk bergerak ke hadapan dalam membentuk bangsa Malaysia, usaha mengangkat bahasa kebangsaan negara ke peringkat antarabangsa perlu didukung dan disokong semua tanpa diselit agenda peribadi mahupun fahaman sempit perbezaan kaum dan agama di negara ini.Usaha mengangkat bahasa Melayu ini juga mungkin menjadi antara pemangkin mengembalikan kebanggaan, identiti dan jati diri golongan muda di negara ini daripada terus menyalin budaya luar khususnya yang melanggar norma dan batasan agama.
Bahasa merupakan antara ciri kehidupan yang menjadi identiti bangsa dan rakyat sesebuah negara. Sempena bulan kemerdekaan negara, bersamalah kembalikan kebanggaan kepada ciri-ciri unik kita semua yang menjadi identiti sebuah negara bangsa yang berjaya.


Thursday, 25 September 2014

Bahasa Jiwa bangsa

       Bahasa

Bahasa menunjuk ajar
boleh juga kepalang ajar
bahasa boleh menunjuk
boleh juga merajuk
ada juga dibuat pujuk

bahasa adalah indah
terbina dalam sekata
terhurai dalam fikiran
terjelma dalam ucapan
hingga membentuk tamadun bangsa

tapi sayang
tatkala bahasa disalah guna
oleh lidah bercabang dua
segala yang indah menjadi nista
binasalah badan seluruh anggota
bagai bunga kembang tak jadi